Thursday 30 October 2014

6 CARA MUDAH MEMBUAT ANAK RASA DISAYANGI




1. Ucapkan kata-kata sayang terutama di kala dia sedih -
Anak-anak perlu mendengar ucapan kasih sayang ini lebih-lebih lagi sekiranya mereka sedang mengalami masalah atau kemurungan. Contohnya, apabila berlaku sesuatu kejadian di sekolah yang menyusahkan hatinya. Pada saat-saat duka seperti ini, dia perlu tahu yang anda sentiasa di sisinya untuk memberi sokongan kepadanya.

2. Tunjukkan yang anda gembira apabila berjumpa dengannya -
Serlahkan wajah riang ketika menyambut anak anda pulang dari sekolah, umpamanya. Tunjukkan keceriaan bila anda pulang dari bercuti ataupun dari pejabat. Katakan yang anda merinduinya.

3. Perhati dan akui perkara-perkara baik yang dilakukannya -
Ibubapa selalunya bertujuan baik apabila menegur kesilapan atau kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak mereka, kerana berharap anak-anak tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi. Tetapi teguran-teguran ini mengecewakan anak-anak apabila ibubapa tidak nampak dan tidak memuji perkara-perkara baik yang mereka lakukan.

4. Dengarkan kata-katanya -
Apabila anak bersuara dan ingin memberitahu anda sesuatu perkara, tumpukanlah perhatian dan dengarlah apa yang ingin dikatakannya itu. Lihat wajahnya dan hindari diri daripada menyampuk sehingga dia selesai bercakap. Mendengar bukanlah sekadar mendengar dan mengangguk sahaja.

5. Luangkan masa untuk melakukan apa yang diingininya -
Kanak-kanak mengaitkan kasih sayang dengan perbuatan. Lebih-lebih lagi kanak-kanak kecil, mereka tidak begitu tahu untuk menjelaskan ungkapan ini, tetapi mereka tahu apa itu kasih sayang. Bagi kanak-kanak, kasih sayang adalah apa yang dialami dan dirasainya atau apa yang dilihatnya dilakukan oleh orang lain.

6. Tunjukkan minat terhadap apa yang diusahakannya -
Kanak-kanak gemar menunjukkan kepada kita apa yang sedang mereka lakukan. Sebagai contoh, jika anak anda yang berusia sembilan tahun sedang menyiapkan dua keping lukisan yang berlainan dan bertanya kepada anda lukisan mana satu yang anda lebih suka, dekati anak anda dan amatilah kedua-dua lukisan dengan penuh minat. Katakan sesuatu yang khusus seperti, “Yang ini lagi cantik sebab Icha melukis pokok dan daunnya dengan jelas. Warnanya pun lebih terang.”

No comments:

Post a Comment